Ciri-Ciri Muzik & Pemuzik Di Dalam Qur'an
“Dan penyair-penyair itu diikuti oleh orang-orang yang sesat. Tidakkah kamu melihat bahawasanya mereka mengembara di tiap-tiap lembah dan bahawasanya mereka suka mengatakan apa yang mereka sendiri tidak mengerjakannya kecuali penyair-penyair yang beriman dan beramal soleh dan banyak menyebut nama Allah dan mendapat kemenangan sesudah menderita kezaliman. Dan orang-orang yang zalim itu kelak akan mengetahui mana mereka akan kembali.” (As Syu’araa’: 224-227)
Secara umumnya, para pemuzik mestilah bersifat atau berperwatakan baik di sisi Islam. Tujuan pemuzik bukanlah setakat menghiburkan tetapi seharusnya lebih kepada penyeru kepada syariat ALLAH. Dan mereka sendiri pula perlulah beramal dengan seruan kebaikan yang mereka serukan dan bukanlah sekadar mengajak orang. Mereka sendiri terlebih dahulu perlulah menunjukkan contoh terhadap apa yang diserukan.
Dalam surah yang diturunkan di Makkah ini Allah secara khusus telah menyebut sifat-sifat penyair yang suka memutan-belitkan kata, tidak mempunyai pendirian dan mengucapkan sesuatu yang tidak mereka kerjakan kecuali mereka yang mempunyai empat sifat yakni beriman, beramal soleh, banyak menyebut nama Allah (berzikir) dan mendapat kemenangan dari Allah.
Inilah garis kasar perilaku yang harus ada pada tenaga-tenaga yang terlibat dalam penghasilan muzik pada hari ini. Hakikat ini perlu dinyatakan walaupun pada kita kekadang ia seperti terlalu ideal untuk dimiliki. Namun hakikat tetap hakikat, lambat atau cepat kita mesti berusaha untuk mencapainya justeru kita patut merasa malu kepada diri sendiri untuk terus bersikap hipokrit kepada Tuhan.
Pemuzik mestilah memiliki peribadi yang jelas iltizamnya dengan Islam kerana dia adalah contoh serta model ikutan yang mudah mempengaruhi orang ramai dengan cara hidup, stail dan perwatakannya.
Sama ada di atas pentas, di studio rakaman atau dalam kehidupan seharian, mereka seharusnya berusaha untuk benar-benar mengamalkan apa yang diserukannya dalam lagu-lagunya.
Akhirnya, hendaklah diingat bahawa fungsi utama muzik hanyalah untuk membawa manusia kepada Tuhan agar mematuhi perintah dan meninggalkan larangan-Nya. Hanya dengan kembali kepada Allah hati akan mendapat ketenangannya yang hakiki.
Firman Allah: “Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan tenang.” (ar-Ra’d:28). Apabila hati telah tenang ia akan mendapat hiburan apabila menyembah Allah.
Sabda Rasulullah s.a.w.:
“Wahai Bilal, tenangkan kami dengan azanmu.” Muzik adalah hiburan pemangkin untuk menyemarakkan hiburan yang asasi dan hakiki yang mesti diperoleh oleh seorang Muslim melalui solat, zikir, Al-Qur’an, doa, munajat, taubat, sabar, syukur dan lain-lain sifat mahmudah.
Hakikatnya, solatlah hiburan sejati dan muzik tentang solat cuma mewar-warkan kepentingan solat.
Apabila pendengar benar-benar bersolat, insya-Allah mereka akan menikmati hiburan yang lebih tinggi dan asyik dari muzik (muzik dakwah) tentang solat. Inilah hiburan yang digambarkan sendiri oleh Rasulullah s.a.w melalui sabdanya, “Sejuk mataku di dunia dengan solat.”
Muzik hanya bertindak sebagai ‘pengajak’ atau ‘pengiklan’ kepada hiburan-hiburan utama ini.
Oleh itu janganlah hendaknya kita terkeliru dan mengelirukan orang lain akan hakikat hiburan sejati sehingga masyarakat menganggap ‘iklan’ lebih penting dari apa yang diiklankan.
Ingatlah, muzik hanyalah bersifat sebagai pengiklan dan penyeru kepada suatu konteks dan konsep yang lebih utama iaitu mengingati ALLAH dan mengamalkan syariatnya secara syumul (menyeluruh).
“…Katakanlah lagi (kepadanya): Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna”. (Surah Zumar: 9)
2 comments:
Waa'laikumsalam..
tukat,
ada perkara baru yang menarik sepanjang cuti ni..
akak belajar hafal hadith 40 dgn muzik di iringi petikan gitar..
xifu dan members akak fathim ..
dalam proses nak menghafaz..
alhamdulillah setakat ni
kami dapat 5 jenis lagu hadith 1,6,35,36&40..
yg lain nanti dulu
wish kita frez 4ever
uhibbukifillah
bagus posting ni. in my office forum, depa asyik cerita pasal lagu tapi setelah berpanjang-panjangan leka, hujungnya depa kaitkan balik dengan muzik ni memberi kesedaran. camana tuh lisa?
Post a Comment